Entry: Penantian... Thursday, September 29, 2005




Pada hakikatnya kehidupan ini adalah sebuah penantian. Seorang pelajar: menanti selesainya peperiksaan dan pengumuman keputusan dengan penuh debaran. Seorang pesakit: dengan penuh harapan menuggu penyakitnya sembuh. Pasangan yang sedang bertunang: cemas menantikan saat diijabkabulkan. Ibu yang sarat hamil: tertunggu-tunggu bilakah ketikanya ia akan bersalin. Orang tua yang menunggu anaknya sedang membesar: penuh dengan tandatanya “Apa yang akan terjadi pada anak-anak aku apabila dewasa kelak?” Kesimpulannya: semua orang sedang menjalani masa penantian dalam kehiduapnnya hinggalah nyawaynya berpisah dari jasad kelak.

Bagi seorang gadis pula, ada masa penantian yang seringkali menimbulkan suasana panik Yaitu menanti jodoh. Jodoh, maut dan rezeki adalah ketentuan serta kehendak Allah semata-mata. Tidak ada sedikit pun hak manusia untuk merampas ketentuan tersebut. Namun telah menjadi tabiat manusia, ada kalanya ia terlupa dengan janji Allah. Apatah lagi apabila mereka terus-menerus “diburu” dengan persoalan “Bila lagi nak makan nasi minyak?” Apa yang hendak dijawab….??? Sedangkan jodoh yang dinantikan tidak juga kunjung tiba.

Seorang wanita itu akan sempurna sifat kewanitaannya apabila ia mengalami menstruasi. Islam mencatatkan masa ini sebagai masa awal mukallafnya seorang wanita. Menurut pakar dalam dunia perubatan, remaja sekarang lebih cepat mencapat peringkat akil baligh berbanding zaman dahulu Ketika ini ramai gadis yang mencecah baligh ketika berumur 9 hingga 11 tahun lagi. Manakala 20 tahun yang lampau, wanita amat jarang mencecah akil baligh kecuali 12 tahun ke atas. Akibatnya kedewasaan wanita terhadap masalah berkaitan naluri perkahwinan akan turut meningkat secara cepat. Apa yang membimbangkan adalah fenomena kejatuhan moral dan
gaya hidup bebas seperti di barat yang telah menyebabkan lebih ramai remaja hari ini mengadakan hubunga
n seks tanpa ikatan perkahwinan!

**************************************************
Bagi gadis muslim yang terikat dengan nilai-nilai Islam yang sempurna, kehidupan seperti ini tidak mungkin pernah terfikirkan malah amat jauh dari bayangan. Keimanan dan ketaqwaan kepada Rabb, Penguasa Alam telah membentengi dirinya dari perkara-perkara yang amat tercela ini. Bukankah ayat Allah dalam surah Al Mukminun (ayat 1-11) dengan jelas menyatakan mengenai sifat-sifat orang mukmin yang beruntung di mana salah satu daripadanya adalah: “..dan orang-orang yang menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka…”

Namun begitu tanpa disedari, terselit juga tingkah laku yang tidak layak dilakukan oleh wanita muslim yang ‘committed’ apabila usia merangkak naik. Apabila calon suami tidak kunjung tiba. Misalnya mereka telah mula menjadi sangat sensitif terhadap majlis atau diskusi mengenai walimah.
Ada
yang tiba-tiba memberi alasan atau “cita-cita”: ingin kerja dulu, menyara keluarga dan sebagainya baru mahu menikah. Padahal sebenarnya ungkapan-ungkapan ini lahir disebabkan perasaan mereka yang telah menanti.

Disamping itu, terdapat pula keadaan di mana muslimah itu mulai luntur nilai yang suatu ketika dulu dipegang kukuh atau cenderung kepada tindak-tanduk yang ‘over acting’. Apabila ia menghadiri suatu majlis atau program yang dihadiri sama lawan sejenisnya ia akan melakukan sesuatu sehingga ia “dilihat atau terlihat.” Ia akan berdiskusi dengan kaum lelaki walaupun dalam hal yang remeh, atau bersikap ‘menonjolkan diri’ apabila diketahui terdapat lelaki soleh yang belum bernikah malah walaupun lelaki soleh yang telah berkeluarga. AstaghfirulLah! Nauzubillahi min zalik.

Ini bukan prasangka buruk tetapi inilah fenomena yang terpapar di hadapan kita. Maka kita perlu melihat jauh ke hadapan supaya masalah-masalah tersirat sebegini mesti segera difikirkan jalan keluarnya.

Al Qur’an sendiri pernah merakamkan tentang ketidakberdayaannya seorang wanita menghadapi masa penantiannya.

“Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali….” (An Nahl : 92)

Jabir Asysyaal dalam bukunya “Qisasu an-Nisaa’ Fi Al Quran al Karim” menerangkan bahawa ayat ini mengisahkan seorang gadis dari Bani Makhzum yang bernama Raithah. Seperti gadis-gadis lain, ia juga inginkan kebahagiaan dengan adanya seorang pendamping disisinya. Keinginan ini semakin menjadi ketika dia melihat satu persatu rakan sebayanya mendirikan rumahtangga. Setiap saat dia menanti gendering merdu yang akan mengiringi langkah kakinya menuju bahtera rumahtangga. Namun semakin hari, harapannya semakin pudar. Gadis itu sering mengelamun dan bertanya pada dirinya.. apa kekurangan yang ada pada dirinya sedangkan ayahnya juga seorang berkedudukan tinggi dan mulia di kalangan kaumnyua. Ayah dan ibunya banyak menghabiskan hartanya menyembelih korban kepada berhala atau pergi ke ahli nujum. Namun hasilnya sia-sia belaka.

Setelah ayah dan ibunya meninggal, Raithah bernikah dengan sepupunya, Sukhir, yang kemudian terbukti hanya inginkan kekayaan yang dimilikinya sahaja. Akhirnya dia meninggalkan Raithah seorang diri. Bagi melepaskan kekecewaannya setiap hari Raithah mengupah gadis-gadis di Mekah untuk memintal benang dan bila tiba waktu malam Raithah akan mengurai benang-benang itu kembali. Demikianlah keadaan Raithah setiap hari sehingga dia meninggal dunia.

Penantian Raithah ternyata berakhir dengan kegagalan. Tentulah terdapat perbezaan yang asasi antara Raithah dengan golongan muslimah yang committed dengan ajaran Islam. Sejak awal lagi mereka ditanamkan kefahaman bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya. Manakala Raithah tidak pernah mengenalNya. Oleh itu, sikap seqah yang mutlak kepada Allah mestilah diusahakan sentiasa secara maksima dalam kehidupan.

**************************************************
Pernikahan sememangnya bukan suatu yang fardhu. Tidak ada dosa atas seseorang yang tidak bernikah selama dia tidak menentang sunnah Rasul ini. Oleh itu, sekarang atau akan datang kita akan menikah bukanlah masalah utama. Namun paling penting yang mesti dilakukan adalah mengisi detik-detik penantian ini dengan aktiviti-aktiviti positif sebagai suatu persiapan menghadapi hari mendatang.

Apa sahaja persiapan yang disediakan mestilah bermula dari hati. Kebersihan hati akan menjadikan seseorang itu tenang ketika melangkah. Istilah “anak dara tua atau andartu atau perawan tua” tidak akan menganggu gugat perjalanan kehidupannya malah tidak akan sama sekali menjadikan dia berpaling daripada
medan
dakwah. Walaupun tiada jodoh di dunia, yakinlah Allah akan menggantikannya di akhirat sesuai dengan tingkatan amal kita.

Kedua orang tua dan keluarga juga perlu dijelaskan agar mereka tidak menyalahkan Islam. Memang terdapat anggapan sesetengah orang tua bahawa menutup aurat akan menjadikan seseorang itu lambar mendapat pasangan. Atau terlalu memilih (pilih ikhwah sefikrah) kononnya, akan berakhir dengan tidak terpilih satu pun. Gunakanlah kebijaksanaan dan hikmah dalam menghadapi masalah begini.

Bersabar dan berdoa juga merupakan kunci mutlak untuk menenangkan dan menstabilkan maknawiyah seorang muslimah. Yakinlah bahawa dengan kesabaran, akan ada pintu-pintu yang terbuka dimana hal itu tidak terlihat oleh kita ketika dada sedang sempit.
Dengan doa terjalinlah jalinan mesra dengan Pemilik Hati dan Jiwa. Mungkin doa-doa kita tidak dikabulkan segera pada saat itu, namun bukanlah berdoa juga adalah ibadah? Oleh itu semakin banyak doa diungkap semakin banyak pula ibadah yang diperolehi.

**************************************************
Bagi pasangan da’i yang baru sahaja merasakan keindahan “nisfuddin” menikah sebagai sebahagian agama, sebaik-baiknya mereka hendaklah memerhatikan tingkahlaku mahupun percakapan agar ia tidak mengguris perasaan muslimah yang belum berumahtangga. Sebaliknya pula kata-kata semangat untuk menikah perlu diberikan kepada muslimah yang memberi pelbagai alasan untuk tidak menikah walau pada hakikatnya mereka sudah layak untuk melaksanakan tanggungajawab ini. Kesimpulannya, isu “pernikahan” haruslah dibincangkan dengan situasi dan keadaan pendengar.

Persediaan yang tidak kurang penting bagi seorang muslimah adalah persediaan menerima seorang da’i sebagai pasangan hidup.
Secara jujur, membuat keputusan memilih seorang da’i merupakan pilihan yang sukar dan sulit. Mengapa? Kerana kehiduapan seorang da’i semestinya mempunyai irama dan rentak yang berbeza dengan kehiduapn lelaki biasa. Tidak ada limpahan kebendaan yang berlebihan. Hanya sedikit ruang waktu kosong yang akan diperuntukkan untuk bersantai atau bersenang lenang. Akan sentiasa ada ibadah yang mesti dilaksanakan, selalu ada pegabdian. Muslimah juga mesti bersedia memberi semangat dan dorongan agar da’i ini terus berjuang sehingga akhir hayat. Bukan pula muslimah menjadi penghalang atau hambatan kepada da’i untuk berjuang. Fitrahnya seorang lelaki, mampu menanggung penderitaan apabila bersendirian namun dia akan memikirkan berulang kali apabila isterinya turut menderita. Muslimah mesti mempersiapkan diri agar tidak terkejut tentang nilai “kebahagiaan.”

**************************************************
Menikah itu ibadah. Namun ia bukanlah satu-satunya ibadah. Masih banyak alternatif ibadah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW yang boleh dilaksanakan. Alangkah naifnya muslimah apabila membuang begitu banyak waktu memikirkan masalah pernikahan yang tidak kunjung tiba. Masih terlalu banyak ruang dan tugas yang memerlukan potensi kita untuk disalurkan. Selagi masih belum berumahtangga, optimakanlah potensi diri. Kelak, apabila kita sibuk menjadi isteri dan ibu, waktu untuk menuntut ilmu, menghafal ayat-ayat Al Qur’an dan Hadis malah untuk berkhalwat serta bermesra dengan Allah di sepertiga malam tentu akan berkurangan.

 

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments